Tuesday, December 8, 2009

Salam Kembara, Salam 1 Malaysia



Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,

Para pengunjung yang budiman,

Blog ini diwujudkan sebagai medan catatan tidak rasmi Program Promosi UTHM Jelajah Sabah 2009 yang akan berlangsung bermula 12 hingga 19 Disember 2009.

Program yang diselaraskan oleh Pejabat Hubungan Universiti dan Masyarakat UTHM (PHUM) ini mempunyai beberapa objektif antaranya bagi mempromosi UTHM di bumi Sabah, Khidmat Masyarakat serta pendedahan pemanduan kenderaan pacuan empat roda dalam kalangan pemandu UTHM.

Seramai 30 warga UTHM yang terdiri daripada kakitangan akademik, pegawai pentadbiran, pemandu, wakil media serta pelajar ini akan menjelajah mengelilingi negeri Sabah menaiki kenderaan pacuan empat roda merentasi beberapa bandar dan pekan seperti Kota Kinabalu, Papar, Keningau, Tawau, Sandakan, Semporna, Kundasang dan Tuaran.

Pelbagai aktiviti telah dirancang untuk dilaksanakan di setiap lokasi perhentian. Antaranya aktiviti gotong royong, lawatan ke rumah anak yatim dan rewang sekampung. Di samping itu, program ini turut melibatkan para alumni UTHM yang berada di Sabah dengan penganjuran majlis makan malam bersama pemimpin tempatan di dua lokasi iaitu Kota Kinabalu dan Tawau.Satu program khidmat masyarakat khas turut diadakan di Semporna di bawah kelolaan Pejabat Hal Ehwal Pelajar UTHM.

Sebagai sebuah institusi menara gading, aktiviti penyelidikan tidak pernah dikesampingkan. Sempena program jelajah ini juga, sekumpulan ahli akademik dari Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar (FKAAS)UTHM akan menjalankan penyelidikan berteraskan pemuliharaan alam sekitar di kawasan Lembah Danom yang terkenal dengan kekayaan aset flaura dan faunanya.


Bagi meyempurnakan upacara pelepasan konvoi jelajah ini, satu acara ringkas akan diadakan di Lapangan Antarabangsa Kota Kinabalu pada pagi 13 Disember 2009 ini. Yang Berhormat Datuk Seri Panglima Haji Lajim bin Haji Ukim (gambar) Timbalan Menteri Perumahan & Kerajaan Tempatan yang juga Ahli Parlimen Beaufort diberi penghormatan untuk melepaskan perjalanan pasukan konvoi UTHM ini.


Bagi membolehkan perkembangan program ini diketahui oleh seluruh warga UTHM dan khalayak umum, Insya Allah saya bagi pihak Urus Setia program akan menghantar posting laporan aktiviti harian kami sepanjang lapan hari di Sabah dari masa ke semasa ke laman blog ini. Sebarang pandangan dan cadangan dari para pengunjung laman blog ini amatlah dialu-alukan.

Sekian, jumpa lagi di posting yang akan datang.

No comments:

Post a Comment