Monday, December 21, 2009

11 "Hero" Jelajah Sabah 2009


Apabila memperkatakan tentang program jelajah konvoi berkenderaan, tidak sempurna sekiranya tenaga tulang belakang yang menggerakkan kenderaan-kenderaan tersebut tidak disentuh!

Program jelajah ini merupakan yang pertama kali seumpamanya dianjurkan oleh UTHM. Datang dari idea dan buah fikiran Naib Canselor, Prof. Dato' Dr. Mohd Noh Dalimin yang pernah berkhidmat lebih 16 tahun di Sabah, program ini sememangnya menetapkan pendedahan pemanduan mencabar kepada para pemandu Universiti sebagai salah satu objektif utama.
Senarai 11 pemandu yang terlibat adalah:
  1. EN RAZALIE RAMLI (Ketua)
  2. EN AZMAN SARIP
  3. EN BAHARUDDIN BUKARIN 
  4. EN BASARI YAHAYA
  5. EN JAMALUDIN MOHD ELMI
  6. EN KHAMSA ABU
  7. EN MOHD BASERI ROSLAN
  8. EN ROSLIZAN ROSMANUN
  9. EN YAHAYA ABU BAKAR
  10. EN ZAINUDDIN ASEMUNI
  11. EN ZALKEPALI @ ZULKEFLI AHMAD



Tindakan melibatkan 11 pemandu rasmi universiti terlibat dalam program ini merupakan satu tindakan yang tepat. Program ini telah memberi pendedahan dan pengalaman yang amat berharga kepada para pemandu yang terlibat kerana sepanjang tujuh menjelajah bumi Sabah, mereka telah melalui pelbagai bentuk permukaan dan keadaan jalan yang sungguh mencabar.

Turut menyertai 11 Pemandu yang diketuai Razalie Ramli ini adalah Juruteknik Mekanikal, Mohd Shukri Awang yang sentiasa memastikan jentera kenderaan dalam keadaan yang terbaik untuk kelancaran perjalanan.

Tiada sebarang rungutan didengar tatkala penyerahan kenderaan yang terdiri dari pelbagai jenama dan model dibuat pada hari pertama berada di Sabah. Fortuner, Land Cruiser, Hilux tiada masalah bagi mereka!
Terdapat sebahagian perjalanan yang dikategorikan sebagai "off road" dan antara yang mencabar kemahiran pemanduan adalah laluan di antara Beufort - Keningau (merentas Banjaran Crocker), Keningau - Kalabakan dan Ranau - Tambunan.


Selain tidak bertar, permukaan jalan yang tidak rata, sempit, licin, cuaca tidak menentu, pendakian/penurunan bukit curam dan terlalu hampir dengan gaung dalam amat menguji ketahanan mental dan fizikan para pemandu. Ada hari-hari tertentu, tenaga mereka dikerah memandu di laluan berliku dari mula fajar menyingsing sehingga melepasi waktu terbenamnya mentari! Tambahan pula mereka (para pemandu) juga turut menyertai aktiviti-aktiviti yang diadakan pada waktu malam yang adakalanya berakhir agak larut.


Walau apapun cabaran yang dihadapi, kesemua para pemandu yang menyertai program ini tetap teguh dan bersemangat melaluinya. Pada pandangan penulis, dengan kemahiran, kecekalan dan sikap positif yang telah ditunjukkan, mereka ini telah "lulus ujian" dan pada bila-bila masa sekiranya DYAM Tunku Canselor ingin mengadakan acara konvoi kenderaan pacuan empat roda, Universiti tidak lagi punyai masalah untuk mencari calon pemandu. Sewajarnya penghargaan dan penghormatan yang tinggi diberikan kepada semua "Pilot" Universiti ini. Wa caya sama lu!!!

No comments:

Post a Comment